Followers

Tuesday, November 6, 2012

BANGUNAN YANG UNIK

Salam sejahtera kepada semua pembaca Dunia Matematik. Bertemu kembali dalam ruangan Kesenian Edisi Oktober 2009. Pemabaca budiman, sudahkah anda membaca edisi kami pada keluaran-keluaran lepas? Jika sudah, diharapkan anda mendapat maklumat daripada artikel-artikel lepas. Jika belum, kami sentiasa mengalu-alukan kunjungan anda ke Dunia Matematik.

    Baiklah, tema pada edisi kali ini ialah ‘Keindahan Rekabentuk Matematik’. Untuk ruangan Kesenian, editor ada membuat sedikit coretan untuk para pembaca sekalian. Tajuk pada kali ini ialah ‘Bangunan Ajaib’ . Tanpa melengahkan masa lagi, mari kita sama-sama lihat apakah hasil editor kali ini untuk tatapan pembaca. Selamat membaca!

    Pernahkah anda semua melihat bangunan-bangunan pelik yang terdapat di muka bumi ini? Bangunan pelik di sini bermaksud bangunan yang mempunyai rekabentuk yang lain daripada bangunan biasa yang pernah kita lihat. Mungkin ia juga dapat ditafsirkan sebagai bangunan yang kita semua tidak terfikir akan hasil rekabentuknya yang unik, menarik dan mengagumkan. Di sini editor ada sesuatu untuk di kongsi bersama pembaca tentang bangunan-bangunan unik di dunia.

RUMAH KUBUS (CUBIC HOUSES)



    Rumah Kubus ini terletak di Rotterdam, Belanda. Ia dibina pada tahun 1970-an dan diilhamkan oleh Piet Blom. Beliau pada asalnya hanya membina dua buah rumah berbentuk kubus ini. Tetapi khidmat beliau diperlukan untuk merekabentuk rumah di atas jambatan pejalan kaki. Beliau akhirnya mengaplikasikan idea rumah berbentuk kubus ini.


    Rumah ini didirikan di atas struktur tiang yang berbentuk heksagon. Setiap rumah kubus didirikan sebelah menyebelah dan kedudukan disengetkan antara satu sama lain. Rumah Kubus ini dibahagikan kepada tiga bahagian, iaitu atas, tengah dan bawah. Bentuk segitiga di bahagian bawah kubus tersebut merupakan ruang tamu. Bahagian tengah terdiri daripada bilik tidur dan bilik mandi manakala bahagian segitiga di bahagian atas pula boleh dijadikan bilik tidur atau ruang tamu tambahan.
   

HABITAT 67


    Habitat 67 adalah kompleks perumahan yang berbentuk kiub serta disusun bertingkat-tingkat tetapi tidak sekata. Habitat 67 dinamakan sempena tahun ia dibina iaitu 1967. Ia terletak di Montreal, Kanada. Arkitek disebalik struktur rumah yang unik ini ialah Moshe Safdie.
   


    Mengapakah bentuk kiub menjadi pilihan? Dari segi konsep seni bina, bentuk kiub melambangkan kestabilan. Dari segi mistik pula, bentuk kiub melambangkan kebijaksanaan, kebenaran dan kesempurnaan moral.


    Sebanyak 354 kiub ini dibina bertingkat dan sebelah menyebelah antara untuk membentuk 146 kediaman. Pada masa itu, Habitat 67 merupakan apartmen moden dan ekonomi.


ATOMIUM


    Atomium merupakan sebuah bangunan yang berbentuk seperti susunan atom. Atomium terletak di Brussels, Belgium. Ia sebenarnya dibina untuk Expo’1958 – 1958 Brussels World Fair di Belgium, tetapi disebabkan popularitinya meningkat, Atomium dijadikan sebagai struktur kekal dan dibuka untuk pameran. Atomium ini direka oleh Andre Waterkeyn dan Jean Polak.
   

    Atomium dibentuk daripada sembilan buah sfera yang dicantum oleh 20 tiub berbentuk silinder dan disokong oleh 2 bipod pada tapaknya. Jika kita lihat dengan teliti, gabungan sfera-sfera ini pula akan membentuk kiub. Diameter bagi setiap sfera ini adalah 18 meter. Saiz sfera yang menyerupai bentuk atom ini pula dibina 165 billion kali lebih besar daripada saiz atom yang sebenar.


    Jadi kita dapat melihat banyak aplikasi Matematik dalam pembinaan bangunan yang unik dan menarik. Bukan sahaja dari segi nombor dan ukuran sahaja, Malah bentuk-bentuk geometri juga ada kepentingannya. Bagaimana dengan anda di luar sana? Sesiapa yang bercita-cita menjadi arkitek suatu hari nanti, diharap dapat menjadi salah seorang yang dapat mereka sebuah bangunan yang unik di Malaysia pada masa hadapan. Sehingga bertemu lagi pada isu-isu yang akan datang. Selamat maju jaya!

No comments:

Post a Comment